UUM ONLINE: Dua buku terbitan UUM Press telah berjaya merangkul dua Anugerah Buku Negara 2022 bagi Kategori Anugerah Pengajian Tinggi sempena Persidangan Buku Antarabangsa dan Ekspo Buku Malaysia baru-baru ini.
Buku tersebut iaitu Buku Umum Terbaik (Ekonomi) dan Buku Umum Terbaik (Pengurusan Organisasi) bagi Kategori Anugerah Pengajian Tinggi.
Buku Malaysia and The Muslim World: Harnessing the OIC Market Through Trade and Islamic Finance hasil penulisan Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) menerima Anugerah Buku Umum Terbaik (Ekonomi). Sementara buku Dinamik Hubungan Manusia Dalam Organisasi hasil penulisan bersama Sharifah Sofiah 'Atiqah Syed Ibrahim, pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, bersama Saadon Awang diumumkan sebagai penerima Anugerah Buku Umum Terbaik (Pengurusan Organisasi).
Anugerah disampaikan oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Mantan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut hadir bersama menerima anugerah tersebut Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Hamidi Ismail dan Timbalan Pengarah UUM Press, Rosma Ishak.
Persidangan Buku Antarabangsa dan Ekspo Buku Malaysia yang bermula pada 22 Ogos lalu di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Putra Malaysia (UPM) berakhir pada 25 Ogos 2022.
Oleh: Mohammad Amzari Bakri
Gambar oleh: Mohd Amirul Afif Md Afizul