KUALA MUDA: Untuk menggalakkan gaya hidup sihat sambil menjaga kebersihan, 25 staf UUM Press, Universiti Utara Malaysia telah menjayakan Program ‘Plogging Cintai Pantai Merdeka’ anjuran Jawatankuasa Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S) UUM Press di Pantai Merdeka, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa 5S, Noor Dalilah Mohd Yunos berkata, program ‘plogging‘ ini merupakan satu inisiatif untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berjoging atau berjalan sambil mengutip sampah.
Menurutnya, menerusi program ‘plogging‘ ini, UUM Press berharap nilai dan cakna dapat diterapkan kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan serta memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar.
“Program ini dilaksanakan bagi memenuhi tanggungjawab sosial universiti (USR) serta menyokong matlamat pembangunan mampan dari segi tanggungjawab terhadap penggunaan dan pengeluaran, kehidupan dalam air dan kehidupan di darat dalam melestarikan alam sekitar SDG12, SDG14 dan SDG15,” ujarnya.
Turut serta dalam program ini, wakil E-Idaman Sdn Bhd, Nur Amira Azman yang telah memberi penerangan secara teori dan amali tentang tatacara membuang dan melupuskan sisa sampah dengan cara yang betul kepada staf, pengunjung dan peniaga yang turut hadir bagi menjayakan program ini.
Menurut Nur Amira, kajian mendapati setiap orang di Malaysia membuang sebanyak satu kilogram sampah setiap hari. Oleh itu, pengasingan sisa sampah ini penting untuk menyelamatkan bumi dari terus tercemar.
Beliau juga menasihatkan agar penggunaan plastik sekali guna dalam kehidupan harian dikurangkan dengan cara membawa beg guna semula untuk membeli belah, menggunakan peralatan makan pakai buang yang ‘biodegradable‘ supaya mudah dilupuskan serta mengamalkan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).
Sementara itu, Pengarah UUM Press, Rosma Ishak berkata, dengan pelaksanaan program ini diharapkan dapat memberi kesedaran dan ilmu baharu kepada staf dan komuniti tentang tatacara pengurusan dan cara pengasingan sisa sampah yang telah ditunjukkan oleh pihak E-Idaman semasa sesi ‘plogging‘ itu.
Program yang mendapat kerjasama Pejabat Penghulu Kampung Pantai Merdeka itu diharapkan dapat memupuk dan mendidik masyarakat dan peniaga yang berniaga di sekitar kawasan pantai untuk menjaga kebersihan supaya persekitaran pantai sentiasa bersih dan menyenangkan pengunjung yang datang serta dapat menarik ramai pelancong dari luar.