Oleh: Farah Mat Din
Gambar oleh: UUM Press
SINTOK – Bengkel Menulis Buku Secara Bijaksana telah diadakan di Bilik Makmal 1, Bangunan Baru, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM Sintok pada 29 dan 30 April 2024 sempena aktiviti Pesta Buku Utara yang lepas.
Bengkel yang disertai oleh seramai 20 orang pensyarah daripada pelbagai pusat pengajian ini turut mengadakan sesi pembentangan manuskrip yang sedang ditangani oleh mereka. Penceramah bengkel iaitu Profesor Madya Dr. Abdul Aziz Hussin merupakan bekas pensyarah yang pernah berkhidmat di beberapa buah universiti tempatan. Dr. Aziz tidak asing lagi kepada UUM Press kerana pernah mengendalikan Bengkel Penulisan Ilmiah sebelum ini.
Bengkel yang diadakan selama dua hari ini bertujuan memberikan motivasi dan semangat menulis buku kepada penulis terutamanya penulis baharu yang belum pernah menghasilkan penulisan buku. Menurut Dr. Abdul Aziz, penulis yang ingin menghasilkan buku harus mengaplikasikan konsep 5W + 1H +1W iaitu Who, What, When, Where dan How untuk pencarian fakta dan Why untuk justifikasi. Penulis juga perlu mempunyai prinsip kesederhanaan dalam diri dan penulisan. Sikap bersederhana dalam berkarya, hak sosial dan kemaslahatan umum perlu dijaga dan diambil kira, mewujudkan keadaan masyarakat yang aman, tenteram, harmoni, makmur dan bersatu padu, serta toleransi sosial merupakan prinsip kesederhanaan yang perlu ada.
UUM Press berharap dengan adanya bengkel seperti ini dapat menggalakkan lebih ramai pensyarah untuk menghasilkan buku yang berkualiti dan merupakan titik tolak kepada permulaan penghasilan buku bagi mereka yang belum pernah menghasilkan buku.