Oleh: Anis Zaireen Fadzil
Gambar oleh: UUM Press
SINTOK – UUM Press telah menganjurkan pertandingan bercerita sekolah rendah tahap 2 di Pentas Utama Pesta Buku Utara 2024 di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 29 April 2024 yang lalu. Pertandingan yang diadakan ini disertai oleh empat buah sekolah iaitu, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok, Sekolah Agama At-Toyyibah, Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara dan Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara.
Pertandingan ini menyaksikan murid-murid tahun 4, 5, dan 6 menunjukkan bakat dan kemahiran bercerita mereka. Setiap peserta diberikan masa maksimum 10 minit untuk mempersembahkan cerita mereka di hadapan para juri dan penonton.
Menurut Farah Mat Din, Ketua Jawatankuasa Aktiviti Pesta Buku Utara, tujuan utama pertandingan ini adalah untuk memupuk minat membaca dan bercerita dalam kalangan kanak-kanak, selain meningkatkan keyakinan diri mereka untuk berkomunikasi secara berkesan. "Kami berharap pertandingan ini dapat menjadi platform untuk anak-anak kita menonjolkan bakat serta membina keyakinan diri untuk berani menyahut cabaran," ujar beliau.
Johan pertandingan dimenangi oleh Nur Qaleesya Humaira Mohammad Fithri dari SK Bandar Baru Sintok dengan cerita bertajuk Pak Samad dan Haiwan Kesayangan. Tempat kedua dimenangi oleh Rumaisa’ Ahmad Sobri dari Sekolah Agama At-Toyyibah dengan cerita Bukti Berkasih Sayang Sesama Sahabat, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nor Fatihah Ali dari Sekolah Agama At-Toyyibah dengan cerita Kisah Saidina Umar Al-Khattab dengan Si Ibu dan Makanannya.
Selain hadiah utama, para pemenang juga membawa pulang hamper dan sijil penghargaan. Semua peserta yang mengambil bahagian diberikan cenderahati sebagai tanda penghargaan atas usaha dan semangat mereka.
Pertandingan bercerita ini turut mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu yang menghargai inisiatif UUM Press dalam mempromosikan budaya membaca dan literasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah.